• Home
  • Kementerian Pendidikan Harus Mengupah Guru Interim untuk Menjamin Kemajuan Pelajar

Kementerian Pendidikan Harus Mengupah Guru Interim untuk Menjamin Kemajuan Pelajar

Susulan sekolah dibuka kembali, Kementerian Pendidikan harus segera membantu sekolah untuk mengupah lebih banyak guru interim untuk melengkapi sumber daya pengajar sekolah dan memastikan sekolah memiliki sumber daya pengajar yang cukup untuk menjamin kemajuan pelajar setelah kembali ke sekolah.

Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia telah melaporkan bahawa sekolah Cina kini masih kekurangan 882 guru setelah sekolah dibuka kembali. Beberapa sekolah mengalami masalah kekurangan guru yang lebih teruk atas sebab persaraan, promosi, cuti bersalin, dan cuti sakit.

Setelah sekolah dibuka kembali, guru bukan sahaja bertanggungjawab atas kemajuan pengajaran setiap hari tetapi juga perlu membantu sekolah melaksanakan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, termasuk mengukur suhu tubuh, menjaga ketertiban lalu lintas pelajar untuk masuk dan keluar kelas, membantu pelajar memesan makanan dan memeastikan pelajar mematuhi peraturan.

Hal ini juga bererti beban kerja guru bertambah secara relatif, terutama di sekolah Cina di bandar yang kekurangan guru. Ini akan meningkatkan beban administrasi guru dan menyebabkan kesulitan untuk mencapai keseimbangan antara pengajaran harian dan tugas administratif.

Selain itu, menurut jawapan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi di parlimen, 36.9% pelajar tidak memiliki peralatan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan sebagian besar pelajar juga tidak dapat mengikuti pembelajaran secara efektif kerana kekurangan peralatan elektronik di rumah.

Meskipun Kementerian Pendidikan telah menyediakan beberapa saluran khusus TV pendidikan untuk pembelajaran dari rumah, namun keberkesanan pembelajaran tidak dapat dipantau secara sistematik dan kemajuan belajar juga tidak efektif.

Oleh kerana itu, Kementerian Pendidikan harus memperuntukkan dana untuk membantu sekolah mengupah guru interim yang sesuai bagi membantu meringankan tekanan pengajaran guru yang sedia ada dan memastikan guru memiliki kekuatan untuk mencapai keseimbangan antara tugas pengajaran dan administratif demi menjamin pelajar dapat mengejar kemajuan pembelajaran.

Jika Kementerian Pendidikan tidak memberi peruntukkan yang sesuai, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) atau Lembaga Pengarah Sekolah terpaksa menggunakan dana mereka untuk memastikan operasi pembelajaran dan administratif berjalan lancar. Jelasnya ini akan meningkatkan beban sekolah kerana sekolah juga terpaksa meningkatkan perbelanjaan untuk membeli berbagai peralatan pencegahan wabak untuk melaksanakan prosedur operasi standard Kementerian Pendidikan.

Kini, terdapat sekitar 5 juta graduan lepasan universiti yang akan memasuki alam pekerjaan. Namun, dalam situasi ekonomi yang susah akibat pandemik, mereka akan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, penawaran kerja guru interim juga dapat meringankan masalah pengangguran graduan lepasan universiti secara relatif dan membantu mereka mengharungi masa yang sukar ini, sementara membantu mengejar kemajuan pembelajaran pelajar setelah  sekolah dibuka kembali, bak kata pepatah, sambil menyelam minum air.

Sumber Gambar Cover: SJK(C) Pasir Pinji 1

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758