• Home
  • Bantuan untuk Mahasiswa UTM Skudai

Bantuan untuk Mahasiswa UTM Skudai

1. Sebentar tadi telah diumumkan bahawa susulan penularan jangkitan Covid 19 kawasan kampus UTM Skudai akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 21 Mei hingga 3 Jun.

2. Kami telah berhubung dengan pengawai dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) untuk menawarkan bantuan dari segi barang keperluan seharian dan barang sanitasi sekiranya pihak universiti ada keperluan yang mendesak. Sebagai alumni UTM dan juga wakil rakyat di kawasan yang berdekatan, kami amat prihatin atas kejadian yang menimpa komuniti UTM dan bertekad untuk membantu dalam apa jua bentuk yang diperlukan.

3. Dalam pertemuan atas talian dengan wakil UTM pada 17 Mei terdahulu, kami dimaklumkan seramai lebih kurang seribu pelajar dan staf UTM kini berada di bawah kuarantin dalam kawasan kampus. Pihak pengurusan UTM memohon sedikit bantuan dari segi bekalan barangan sanitasi seperti pelitup muka dan juga barangan keperluan harian termasuk sabun, shampoo dan tuala wanita. Kami telah memenuhi sebahagian permintaan tersebut pada 18 Mei dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak UTM untuk meringankan bebanan mahasiswa-mahasiswi dan staf-staf yang terkesan.

4. Berdasarkan pengumuman Menteri tadi, seramai 346 ujian saringan telah dijalankan di UTM Skudai dan 49 atau 14% didapati positif. Memandangkan peratusan ujian positif yang sangat tinggi, adalah wajar semua orang yang berada dalam kawasan PKPD diuji sama ada melalui kaedah PCR atau RTK-Antigen tanpa berlengah-lengah lagi.

5. Kami sedang berusaha mengumpul sebanyak 500 buah kit ujian RTK-Antigen dari pihak pembekal untuk diserahkan kepada pihak UTM untuk mempercepatkan proses menguji, mengesan, mengasingkan dan merawat saudara dan saudari di UTM yang terjangkit virus Covid-19.

6. Akhir sekali, kami faham akan kerisauan dan keresahan masyarakat setempat di sekitar UTM Skudai atas perkembangan yang terbaru dan trend penularan virus dalam komuniti. Kami menyeru agar semua pihak mematuhi SOP PKP yang terbaru dan mendaftarkan diri untuk program vaksinasi Covid segera.

7. Untuk orang ramai yang mahu membantu mahasiswa kita ini dengan bekalan barangan sanitasi dan barangan keperluan harian, boleh hubungi Talian WhatsApp Pusat Komuniti Skudai di 010-531 3758. Sama-sama kita doakan seluruh warga UTM dapat mengharungi cabaran ini dengan tabah.

Sumber Gambar Cover: BBC

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758