• Home
  • Biayasama Skudai Didik Berjaya Kumpulkan RM30,154

Biayasama Skudai Didik Berjaya Kumpulkan RM30,154

Pusat Komuniti Skudai telah melancarkan Dana Skudai Didik pada bulan lalu sebagai wadah biayasama (crowdfunding) membabitkan seluruh warga Kawasan N48 Skudai dan sekitarnya berjaya mengumpulkan sebanyak RM30,154.00 bagi mempersiapkan seramai 104 orang anak-anak Skudai yang terjejas banjir memulakan sesi persekolahan.

Bencana banjir yang melanda kawasan Lorong Aris, Batu 8 ½ , Kampung Laut dan Kampung SK pada awal bulan Januari lepas bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk malah turut merosakkan kelengkapan persekolahan anak-anak Skudai tersebut.

Sehubungan itu, Pusat Komuniti Skudai mengambil langkah untuk meringankan beban ibu bapa terjejas banjir yang perlu melalui proses pemulihan pasca banjir dengan mengagihkan bantuan persiapan persekolahan anak-anak mereka berbentuk pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan peralatan tulis pada kelmarin.

Program Skudai Didik yang merupakan inisiatif baharu Pusat Komuniti Skudai untuk membantu anak-anak Skudai khususnya daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah meraih sepenuhnya peluang pendidikan. Dana Skudai Didik tersebut merupakan langkah permulaan bagi saya bersama Pusat Komuniti Skudai serta warga Skudai yang prihatin membangunkan pendidikan anak-anak Skudai.

Meskipun sesi persekolahan ditangguhkan sekali lagi susulan perebakan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun inisiatif Dana Skudai Didik tersebut terus mendapat perhatian dan sokongan daripada warga Skudai sehingga berjaya mencapai jumlah berkenaan.

Saya merakamkan sekalung penghargaan kepada seluruh warga Skudai yang sudi menjayakan Dana Skudai Didik tersebut sama ada melalui sumbangan wang ringgit mahupun bersama-sama menggembleng tenaga mereka. Kepada anak-anak yang menerima manfaat Dana Skudai Didik, ilmu pengetahuan adalah harta dan senjata terpenting dalam mencorak masa hadapan anda, keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber Gambar: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758