• Home
  • Individu Berisiko Tinggi Harus Jalankan Kuarantin Secara Rela

Individu Berisiko Tinggi Harus Jalankan Kuarantin Secara Rela

Setiap individu yang pernah berkunjung ke kawasan berisiko tinggi wajar menjalani kuarantin secara rela walaupun tidak disyaratkatn sebegini atau didapati negatif dalam ujian saringan COVID-19 kali pertama. 

Saya menggesa agar langkah sedemikian diambil susulan peningkatan angka kes COVID-19 pada 5hb Oktober 2020 (Selasa) yang merekodkan sebanyak 432 kes – malah memecahkan rekod terdahulu.

Seperti yang kita semua ketahui, angka kes COVID-19 mencatatkan peningkatan ketara dan serius semasa dan selepas tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga mendatangkan kebimbangan dalam kalangan kita semua.

Malah, catatan angka yang didedahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperlihatkan kebanyakan pesakit positif COVID-19 membabitkan individu yang pernah berkunjung ke Sabah – dalam kalangan masyarakat umum, ahli dan pimpinan parti politik.

Semalam juga menggemparkan kita semua apabila dimaklumkan terdapat menteri yang diuji positif COVID-19 sehingga menyebabkan seluruh Jemaah Menteri terbabit dengan mesyuarat baru-baru ini menjalani kuarantin. Lebih membimbangkan apabila menteri tersebut telah berkunjung ke lima buah negeri dan menghadiri program melibatkan orang ramai.

Lantaran itu, saya berpandangan bahawa pimpinan politik, Kerajaan Persekutuan dan Negeri kini dirangkumkan dalam golongan berisiko pembawa dan penyebar COVID-19. Justeru, golongan ini digesa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berkunjung ke kawasan umum.

Saya juga mendesak agar golongan pemimpin ini diwajibkan menjalani pengasingan kendiri atau kuarantin di rumah selepas kembali dari kawasan berisiko tinggi – meskipun tiada syarat ditetapkan untuk berbuat sedemikian.

Desakan tersebut selari dengan semangat kebertanggungjawaban bersama dalam mendepani kemaslahatan umum. Usaha barisan hadapan sebelum ini jangan diremehkan sebaliknya harus diperkukuhkan.

Tambahan, kita sememangnya tidak mampu untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang bakal memberi kesan kepada ekonomi negara secara menyeluruh. Pun begitu, perlaksanaan PKP seharusnya dicermati dengan impak ke atas ekonomi dan pengangguran masyarakat.

Sehubungan itu, saya menyeru kita semua berganding bahu untuk terus mematuhi SOP COVID-19 yang telah ditetapan – memutuskan segera rantaian dan membina semula ekonomi serta pekerjaan.

Sumber Gambar Cover: https://today.duke.edu/2019/10/why-you-should-stay-home-flu

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758