• Home
  • Kerajaan Digesa Beri Perhatian Hak Pasangan Warga Asing, Benarkan Tinggal di Malaysia Masa PKP

Kerajaan Digesa Beri Perhatian Hak Pasangan Warga Asing, Benarkan Tinggal di Malaysia Masa PKP

Baru-baru ini, laporan berita mengesahkan warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh, perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada 21 April ini. Ini mencetuskan kekeliruan ramai. Saya menggesa kerajaan untuk memberi perhatian kepada hak pasangan warga Malaysia yang berwarganegara asing dan membolehkan mereka untuk terus tinggal di Malaysia sehingga berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebelum sempadan dibuka semula.

Sebenarnya, ramai pasangan warga asing yang ingin memperbaharui PLS, tetapi mereka menghadapi kesulitan ketika ingin memperbaharui visa.

Kesulitan terbesar adalah sistem laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini yang tidak mempunyai slot janji temu untuk membuat janji temu dan ramai yang tidak mempunyai janji temu tidak dapat ke JIM untuk memperbaharui PLS.

Sebagai contoh, sistem janji temu JIM menunjukkan tarikh buka janji temu untuk PLS jangka panjang di Jabatan Imigresen Johor adalah sehingga 12 Julai. Namun, tiada slot janji temu bagi tempoh ini dan tarikh selepas 13 Julai juga tidak boleh dipilih. Orang ramai terpaksa membuat janji temu di ibu pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya. Ini menyebabkan kesulitan kepada pemohon.

Kesukaran kedua bagi pasangan warga asing di kawasan Johor adalah suami mereka yang merupakan warganegara Malaysia bekerja di Singapura. Disebabkan pandemik yang menyebabkan penutupan sempadan, suami tidak dapat pulang ke negara untuk membantu isterinya memperbaharui visa dengan menjadi penjamin isteri.

Walaupun suami berusaha keras untuk kembali ke Malaysia melalui skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), mereka juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan slot janji temu. Ramai yang tidak dapat melakukan persediaan untuk membuat perancangan selama 2 hingga 3 bulan.

Masalah pasangan warga asing ini harus diberi perhatian. Mereka perlu membesarkan anak secara persendirian di sini dan mereka mungkin menghadapi risiko melanggar undang-undang. Tekanan dan kesulitan mereka dapat dibayangkan.

Oleh itu, saya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM mewujudkan perlindungan asas hak pasangan warga asing, termasuk membolehkan mereka tinggal di Malaysia tanpa kebimbangan sebelum sempadan dibuka semula dan memohon lanjutan PLS setelah PKP berakhir.

Sumber Gambar Cover: theAsianparent Malaysia

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758