• Home
  • Kerajaan Digesa Menambahbaik dan Mempermudah Urusan Semakan dan Penyaluran BPN

Kerajaan Digesa Menambahbaik dan Mempermudah Urusan Semakan dan Penyaluran BPN

1. Saya menggesa kerajaan menambahbaik sekali gus mempermudah urusan semakan dan penyaluran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di Bank Simpanan Nasional (BSN).

2. Kerajaan perlu sedar tentang kewujudan batas yang menyulitkan sekumpulan masyarakat untuk menggunakan sistem atas talian yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Meskipun, perkhidmatan atas talian menjadi trend semasa namun kaedah alternatif wajar dipertimbang bagi membantu kumpulan masyarakat yang terbatas dengan akses kemudahan tersebut khususnya golongan warga emas dan berpendapatan rendah.

3. Oleh yang demikian, saya menggesa pihak Kerajaan mewujudkan kaedah alternatif bagi memenuhi keperluan golongan tersebut dalam memastikan BPN dapat disalurkan dan benar-benar diterima oleh golongan sasar.

4. Langkah tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan golongan berkenaan yang ingin memohon tidak berpusu-pusu di cawangan BSN untuk memohon atau menunaikan BPN sekali gus mengawal rantaian penularan COVID-19.

5. Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, terdapat pelbagai kekeliruan yang timbul berkait soal dasar Kerajaan. Malahan, kekeliruan dan keterbatasan penyampaian dasar Kerajaan ini dirumitkan lagi dengan penutupan agensi-agensi sehingga mencetuskan rasa panik dalam kalangan masyarakat.

6. Senario ini telah menjadi punca mereka yang benar-benar memerlukan BPN berkenaan terus berpusu ke BSN berhampiran bagi membuat semakan dan mendapatkan BPN. Lantas, senario ini telah hampir sekali menggagalkan objektif penguatkuasaan PKP dan seterusnya meningkatkan risiko penularan COVID-19.

7. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan disarankan untuk menggunapakai kaedah penyaluran program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dilaksanakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dengan penambahbaikan berbentuk paparan maklumat butiran nama bank dan empat (4) digit terakhir akaun bank penerima. Saya yakin bahawa kaedah ini akan memudahkan penerima BPN membuat semakan sendiri atau mendapatkan bantuan pihak lain bagi mengetahui sekurang-kurangnya maklumat akaun bank BPN disalurkan berbanding berpusu-pusu ke cawangan BSN.

8. Justeru itu, saya menyeru agar warga DUN Skudai tidak berpusu-pusu dan berkumpul di bank bagi menyemak, menunaikan dan mengeluarkan wang bantuan BPN. Anda dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu tentang status permohonan anda bagi mengurangkan pergerakan sekali gus mengawal penularan COVID-19.

9. Pusat Komuniti Skudai sedia untuk membantu anda sekiranya terdapat kemusykilan atau persoalan berhubung BPN melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp di talian perkhidmatan kami, 010-535 1758 atau 012-514 1758.

#DudukRumah #KitaJagaKita

Sumber Gambar Cover: xtra

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758