• Home
  • Langkah Pemuliharaan Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah

Langkah Pemuliharaan Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah

  1. Selaku Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai, saya amat cakna akan situasi semasa yang membelenggu Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) – antara perumahan awal dibangunkan di kawasan tersebut dan kini berusia mencecah 30 tahun. 
  1. Masalah kebersihan merupakan perkara utama yang menarik perhatian saya sewaktu melakukan tinjauan ke perumahan tersebut – pengairan longkang yang tersumbat dan  sarang pembiakan tikus mendatangkan ketidakselesaan kepada penghuni serta memberi tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat umum. 
  1. Dalam pada itu, pengurusan sisa pepejal di perumahan berkenaan turut menjadi tumpuan saya dengan fokus terarah kepada pembuangan sisa pukal seperti perabot yang dilonggok di kawasan lapang berhampiran. Permasalahan sebegini memperlihat betapa perumahan ini memerlukan tindakan pemuliharaan segera demi kesejahteraan penghuni setempat. 
  1. Sehubungan dengan itu, pihak saya akan merangka satu pelan tindakan untuk memulihara rumah pangsa berkenaan selain mengkaji keperluan menaiktaraf kemudahan semasa yang perlu disediakan kepada penghuni setempat. Namun begitu, usaha ini memerlukan kerjasama daripada penghuni perumahan berkenaan – khususnya berkaitan dengan perubahan sikap agar pelaksanaan usaaha tersebut berjaya dilaksanakan malah kekal dipelihara bersama. 
  1. Sebagai permulaan, saya meminta kerjasama penghuni premis rumah pangsa berkenaan untuk membersihkan longgokan sisa pukal yang dibuang oleh penghuni. Bagi melicinkan aktiviti pembersihan tersebut, pihak saya akan menyediakan jentera untuk membantu penghuni melupuskan sisa pukal berkenaan dengan kaedah yang betul. 
  1. Saya juga ingin menyeru agar penghuni setempat untuk bertanggungjawab terhadap setiap sisa buangan yang dibuang mengikut saranan. Bagi orang awam, saya mengingatkan untuk tidak mengambil kesempatan terhadap situasi semasa di perumahan tersebut.
  1. Rencana pertama dalam usaha pemuliharaan ini akan bersifat mesra warga emas dengan antaranya menyediakan kemudahan rekreasi dan senaman di kawasan lapang berhampiran selain pemasangan pita keselamatan bagi menghindarkan sebarang kejadian tidak diingini seperti tergelincir. 
  1. Usaha mendidik dan membentuk kesedaran akan dipupuk dalam kalangan penduduk setempat bagi memastikan permasalahan ini berakhir dan tidak lagi berulang. Langkah ini perlu disuntik agar penghuni merasa kepunyaan dan kekitaan dalam menjayakan langkah pemuliharaan tersebut. 
  1. Manakala, sesi perundingan bersama penghuni turut akan diadakan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas tentang kemudahan yang diperlukan oleh penghuni. Bersama kita mensejahterakan Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah.

Sumber Gambar Cover: Sin Chew

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758