• Home
  • Pemberdayaan SWCorp dalam menguruskan sisa pepejal di negeri Johor

Pemberdayaan SWCorp dalam menguruskan sisa pepejal di negeri Johor

Pengurusan sisa pepejal menjadi keutamaan di bawah portfolio Kerajaan Tempatan sejajar dengan pembangunan pesat di serata negeri Johor sepanjang dekad ini. Sampah longgok haram, tapak pelupusan haram dan tapak pelupusan melangkaui jangka hayat antara isu yang membelenggu pengurusan sisa pepejal di negeri Johor.

Kerajaan Negeri Johor maklum bahawa tugas mengurus sisa pepejal kini dipusatkan kepada Kerajaan Persekutuan, pun begitu, Kerajaan Negeri Johor masih perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan pengurusan tersebut berjalan dengan lancar.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Johor melihat perlunya pemberdayaan dan pemerkasaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam menterjemah dan menguatkuasa Akta Parlimen 672 di negeri ini khususnya dalam memastikan masalah sampah longgok haram dapat segera ditangani secara tegas manakala kaedah pengasingan sisa pepejal di punca dilaksanakan oleh setiap premis kediaman.

Terkini, pihak SWCorp Negeri Johor telah berjaya menghadapkan pengotor yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah di bawah Seksyen 71, Akta 672 berhubung pembuangan sampah haram di Taman Setia Eco Garden yang ditangkap pada Jun 2017. Pengotor tersebut telah mengaku bersalah dalam perbicaraan yang berlangsung awal minggu ini dan seterusnya dijatuhkan hukuman denda RM20,000.

Saya menyambut baik perkembangan kes tersebut yang nyata selari dengan visi dan misi saya sebaik memikul portfolio Kerajaan Tempatan. Kes ini juga menterjemah bahawa langkah yang dimulakan dengan memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah sampah longgok haram mampu diterjemahkan oleh pihak SWCorp Negeri Johor.

Saya mahu ingatkan juga agar perlunya pihak SWCorp Negeri Johor untuk kekal konsisten dan komited dalam memperkemas, memperkasa dan memberdayakan peranannya selaku badan penguatkuasa Akta Parlimen terhadap sesiapa yang bertentangan dengan undang-undang dalam ehwal pengurusan sisa pepejal sebagaimana arahan oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

Di samping itu, pihak SWCorp Negeri Johor bersama syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) diminta untuk menganjurkan satu Sesi Penerangan Sisa Pepejal Negeri Johor bersama seluruh Ahli Dewan Negeri Johor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam masa terdekat. Penglibatan kesemua pihak diperlukan bagi menjayakan penguatkuasaan Akta 672, amalan pengasingan sisa pepejal di punca, kitar semula dan pengurangan sampah selain membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

Susulan daripada sesi tersebut, pihak SWCorp dan SWM Environment diminta untuk bekerjasama dengan pihak PBT untuk memberikan penerangan kepada kesemua Ahli PBT (Ahli Majlis) tentang struktur pengurusan sisa pepejal di setiap kawasan PBT. Langkah tersebut sekaligus mempersiap Ahli Majlis untuk menguruskan ehwal Kerajaan Tempatan terutama pengurusan sisa buangan yang merupakan antara perkara utama diberikan perhatian oleh penduduk.

Sumber gambar cover: Harian Metro

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758