• Home
  • Pertemuan dan Rundingan Bersama Jawatankuasa Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah

Pertemuan dan Rundingan Bersama Jawatankuasa Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah

Rentetan daripada kenyataan bertarikh 22 Julai lalu, satu pertemuan dan rundingan telah dianjurkan saya bersama Jawatankuasa Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) berkenaan langkah pemuliharaan yang dicadangkan telah diadakan pada 24 Julai 2018 (Selasa), semalam.

Perkara utama ingin saya tekankan adalah soal pemberdayaan penduduk selari dengan Malaysia Baharu yang mengangkat penglibatan rakyat dalam kerangka demokrasi. Budaya bergantung kepada inisiatif kerajaan harus segera dirombak dengan menyuntik pendekatan bawah ke atas (bottom-up approach) khususnya dalam konteks merencana dan melaksana sesebuah agenda dan dasar.

Sehubungan dengan itu, saya meminta agar pihak jawatankuasa persatuan untuk melibatkan penduduk dalam sebarang sesi sumbang saran (brainstorming) berkaitan hal ehwal perumahan dan menyeru penduduk untuk berubah ke arah pembaharuan bagi bersama-sama mensejahterakan kejiranan tersebut.

Setelah meneliti dapatan daripada pertemuan bersama jawatankuasa penduduk tersebut, suka ingin saya maklumkan tentang penyaluran satu peruntukan khas daripada peruntukan yang diterima DUN Skudai bagi menjayakan usaha pemuliharaan berkenaan.

Ketetapan tersebut dibuat sebagai suntikan permulaan untuk menghidupkan kembali semangat kekitaan dan kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan penduduk rumah pangsa berkenaan yang sudah mencecah hampir 30 tahun usianya.

Dengan tekad mensejahterakan Skudai, saya sekali lagi menekankan bahawa tugas ini adalah tanggungjawab bersama yang harus kita galas – bukan sekadar pihak kerajaan tetapi masyarakat di peringkat akar umbi iaitu penduduk setempat sendiri. Semua pihak dialu-alukan untuk menyuarakan pandangan konstruktif mereka tentang pembangunan yang harus dibawa dan dilaksanakan.

Sumber Gambar: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758