• Home
  • PN Digesa Benarkan Pembangkang Hadir Mesyuarat JTPD

PN Digesa Benarkan Pembangkang Hadir Mesyuarat JTPD

Susulan peningkatan kes positif COVID-19 di Johor, kerajaan Perikatan Nasional memerlukan pelbagai saluran untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini termasuk membenarkan wakil rakyat dari parti pembangkang mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan melibatkan semua lapisan masyarakat.

Mesyuarat JTPD melibatkan pelbagai agensi kerajaan. Ini meyediakan platform bagi wakil rakyat untuk membangkitkan isu pembangunan tempatan dan hal ehwal rakyat. Melalui usaha pelbagai agensi, isu-isu berkaitan dapat diatasi. Pada masa yang sama, pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Daerah juga akan melaporkan kemajuan dalam penyelesaian kes demam denggi pada setiap mesyuarat.

Sejak Langkah Sheraton, wakil-wakil dari Pakatan Harapan menjadi pembangkang dan tidak lagi dijemput untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat JTPD.

Oleh itu, semasa menghadapi pelbagai isu seperti kebajikan rakyat dan wabak, wakil rakyat hanya dapat mengendali isu-isu melalui saluran seperti aduan rakyat dan hubungan peribadi dengan pegawai. Ini menjadikan proses penyelesaian masalah lebih rumit. Pada masa yang sama, pejabat wakil rakyat juga tidak dapat memperoleh maklumat yang tepat mengenai wabak.

Pada hujung tahun lalu semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beberapa wakil dari pihak pembangkang telah meminta kerajaan negeri memasukkan nama wakil pembangkang dalam senarai yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTD). Semasa sidang DUN baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menyatakan kerajaan negeri menyambut baik penyertaan wakil-wakil pembangkang dalam mesyuarat tersebut.

Namun, disebabkan oleh arahan baru pada Januari tahun ini, mesyuarat JTD telah dinaiktarafkan kepada JTPD dan kuasa menjemput peserta terletak di tangan Perdana Menteri, bukan di tangan kerajaan negeri.

Setiap pengundi merupakan pembayar cukai, termasuk pengundi kawasan pihak pembangkang. Apa sebab wakil rakyat pembangkang tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam mesyuarat JTPD untuk mendapatkan maklumat penuh mengenai usaha mengatasi pandemik?

Saya memahami bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia kini menghadapi kekurangan tenaga kerja susulan keadaan pandemik yang semakin teruk, terdapat juga beberapa kawasan yang tidak mampu untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi dengan sepenuhnya. Oleh itu, kerajaan perlu berganding bahu dengan semua pihak, termasuk membenarkan wakil-wakil pembangkang untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat dan membantu dalam kerja-kerja sanitasi di komuniti.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga merupakan Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Gambir, Johor. Beliau sepatutnya menunjukkan contoh kerjasama antara parti-parti politik dengan bersama-sama melibatkan diri dalam usaha menangani pandemik, bukannya menghalang kerjasama antara parti pembangkang dan kerajaan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan.

Oleh itu, saya menyeru supaya Muhyiddin Yassin membenarkan wakil-wakil dari parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat JTPD dan membolehkan mereka mendapatkan maklumat terkini daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk maklumat berkaitan operasi sanitasi komuniti dan perubahan situasi pandemik. Ini akan membolehkan semua pihak untuk berganding bahu dalam “perang menangani pandemik” ini dan bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak serta mengurangkan nilai kebolehjangkitan virus.

Sumber Gambar Cover: Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758