• Home
  • Sesi Perbincangan Khas Covid-19 Melibatkan Semua Wakil Rakyat Johor Sementera Dewan Tidak Bersidang

Sesi Perbincangan Khas Covid-19 Melibatkan Semua Wakil Rakyat Johor Sementera Dewan Tidak Bersidang

1. Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, suatu sesi perbincangan khas berhubung Covid-19 yang dipengerusikan oleh MB Johor telah diadakan sebentar tadi dengan kaedah pertemuan di atas talian.

2. Beberapa taklimat khusus berkenaan tajuk Covid-19 telah disampaikan oleh MB YAB Datuk Hasni Mohammad dan barisan pegawai kanan Kerajaan Negeri. Wakil-wakil rakyat dari Pakatan Harapan telah memanfaatkan peluang ini untuk memanjangkan cadangan untuk mempergiatkan lagi program vaksinasi ke seluruh pelosok negeri demi melindungi nyawa rakyat Johor daripada bahaya wabak Covid-19.

3. Ramai mendapati masa seharian untuk tujuan sesi perbincangan khas sedemikian adalah sangat suntuk. Elok diperuntukkan tempoh yang lebih panjang supaya setiap wakil rakyat yang ingin mengambil bahagian diberi masa yang mencukupi untuk mengutarakan pandangan dan suara masing-masing. Negeri Johor negeri besar yang mempunyai sejumlah lima puluh enam (56) kerusi Dewan Negeri.

4. Lebih mustahak, Dewan Negeri Johor dan Parlimen di Ibu Kota harus bersidang semula. Seperti gesaan terbuka Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman pada hari ini, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Sebagai wakil rakyat kami mahu kembali bekerja dan bersuara untuk rakyat di Dewan, segera.

5. Pun begitu, saya merasa amat kesal kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili kerusi Parlimen Pagoh serta kerusi DUN Gambir gagal hadir dalam sesi perbincangan hari ini. Tanpa alasan yang munasabah, ketidakhadiran Tan Sri Muhyiddin seolah-olah menunjukkan sikap tidak mengutamakan Johor dan tidak hormat kepada Raja yang menitahkan supaya semua wakil rakyat Johor berbincang bersama-sama demi kebaikan Bangsa Johor.

Sumber Gambar Cover: https://www.ecdc.europa.eu/en/covid-19/questions-answers/questions-answers-basic-facts

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758