• Home
  • SPR Perlu Mereformasi Prosedur Pengundian Bagi Pengundi Luar Negara

SPR Perlu Mereformasi Prosedur Pengundian Bagi Pengundi Luar Negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi baru-baru ini menyatakan di Parlimen bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos dan semua pengundi Malaysia yang tinggal di luar negara layak menjadi pengundi pos.

Saya tidak menafikan terdapat kemajuan dalam pendaftaran undi pos. Kini, pengundi di selatan Thailand, Singapura, Brunei, Kalimantan dan Indonesia boleh mengundi melalui pos. Namun, masih terdapat kekurangan dalam penanganan prosedur pengundian luar negara.

Berdasarkan pengalaman lepas dalam pengendalian undian pos, SPR biasanya hanya membuka pendaftaran undi pos setelah penetapan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian.

Dengan ini, pengundi luar negara perlu daftar dalam masa yang singkat. Selain itu, kakitangan pilihan raya perlu menangani tekanan kerja yang tinggi dengan menguruskan jumlah permohonan undi pos yang banyak dalam waktu yang sangat singkat serta menghantar kertas undi ke luar negara.

Oleh itu, sebahagian daripada pengundi luar negara sering menerima kertas undi seminggu sebelum hari pengundian. Selepas itu, mereka perlu mencari rakyat Malaysia sebagai saksi undi pos dan juga perlu risau sama ada kertas undi tersebut dapat dihantar pusat pengundian masing-masing sebelum hari pengundian.

Kerajaan sepatutnya menubuhkan pusat pengundian awal di kedutaan Malaysia di luar negara untuk memudahkan pengundi luar negara yang ingin mengundi lebih awal. Kakitangan kedutaan boleh bertugas sebagai petugas Agen Mengira Undi di bawah pengawasan Ejen Tempat Undi untuk melindungi hak pengundian yang dijamin oleh perlembagaan.

Jika SPR tidak dapat menubuhkan pusat pengundian awal, SPR sepatutnya melanjutkan tempoh kempen pilihan raya kepada 21 hari untuk memberi masa yang cukup bagi pengundi luar negara menguruskan kertas undi mereka dan menghantar balik ke Malaysia.

Sumber Gambar Cover: Sinar Harian

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758